1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Majlis Perasmian “Kenali
KementerianKu” pada hari Isnin, 03 haribulan, Jamadilakhir 1447H bersamaan
dengan 24 haribulan, November 2025M bertempat di Dewan Muhibbah, Jabatan
Daerah Brunei Muara. Majlis disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang
Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri
Hal Ehwal Dalam Negeri dan dihadiri bersama oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis
Mesyuarat Negara dikalangan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Setiausaha
Tetap, Pemangku Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, KetuaKetua Jabatan dan Ketua-Ketua Bahagian di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
dan Jabatan-Jabatan dibawahnya termasuk pemimpin akar umbi dari kalangan
Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung.
2. Acara “Kenali KementerianKu” ini diadakan selama tiga (3) hari sehingga 26
haribulan November 2025 sebagai platform untuk memberigakan maklumat terkini
berkaitan dasar-dasar semasa, inisiatif-inisiatif baharu, perkhidmatanperkhidmatan, akta-akta serta peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta
maklumat berkaitan dengan Penghulu Mukim dan Ketua Kampung kepada orang
ramai termasuk agensi-agensi Kerajaan, pihak syarikat swasta dan Badan-Badan
Bukan Kerajaan (NGOs).
3. Antara pengisian program acara “Kenali KementerianKu” adalah pelancaran Kedai
Kampung yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPM)
Kasat. Kedai Kampung ini merupakan inisiatif bagi mengaktifkan penggunaan
Kantin Dewan Muhibbah melalui penyediaan hidangan berkonsepkan masakan
kampung yang diusahakan bersama oleh ahli-ahli MPM, sepertimana konsep
koperasi. Selain itu, turut disediakan ruang jualan produk Satu Kampung Satu
Produk (1K1P) sebagai sokongan kepada pengusaha tempatan.
4. Turut diadakan disepanjang acara ini ialah Program Talk Series sebagai satu lagi
platform untuk berinteraksi dengan orang ramai termasuk pihak-pihak yang
berkepentingan. Disamping itu, lawatan ke petak-petak pengusaha Satu Kampung
Satu Produk (1K1P) dan peniaga-peniaga food truck, jualan produk INSAF daripada
Jabatan Penjara dan Aftercare Support Association (AFSA), serta produk TUNAS.
Juga dipamerkan ialah pameran statik sebuah jentera Water Tender Ladder (WRL),
serta beberapa aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung
5. Disamping itu, acara ‘Kenali KementerianKu” turut menampilkan rakaman Live
Podcast bersama Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung yang
bertujuan untuk menggalakkan perkongsian pandangan, pengalaman dan inisiatif
kepimpinan akar umbi melalui perbincangan santai dan sesi soal jawab secara
interaktif.
6. Acara pada hari ini juga diselajurkan dengan Sesi Muzakarah bersama Yang
Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara bertempat di Bilik Mesyuarat, Tingkat
4, Jabatan Daerah Brunei Muara yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato
Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam
Negeri.
7. Sesi Muzakarah ini bertujuan untuk mengongsikan inisiatif yang telah dan sedang
dilaksanakan serta perancangan-perancangan strategik Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya, serta percambahan fikiran
mengenai apa jua perkara atau isu ke arah kesejahteraan rakyat dan penduduk
serta kemakmuran negara. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga
turut berpeluang menyaksikan tayangan video pencapaian Kementerian Hal Ehwal
Dalam Negeri yang memaparkan inisiatif, perkembangan dan hasil usaha strategik
kementerian. Selain itu, berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih dekat lagi
bersama pihak pengurusan eksekutif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta
Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian.
8. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi “Kenali KementerianKu” dan
ikut serta dalam program Talk Series sepanjang ianya diadakan. Maklumat lanjut
mengenai acara ini boleh diperolehi melalui laman sesawang Kementerian Hal
Ehwal Dalam Negeri www.moha.gov.bn atau Instagram rasmi @mohabrunei.



